Sajian dari negara Asia termasuk Malaysia memang terkenal dengan keunikan tersendiri selain rasanya yang enak. Apatah lagi, jika hidangan tersebut merupakan hidangan tradisional yang menjadi identiti sesuatu negara.
Antara adalah rendang, salah satu masakan tradisional masyarakat melayu. Tidak kira rendang ayam, rendang daging mahupun rendang itik semuanya sangat enak apabila dimakan bersama pulut kuning, ketupat, nasi dan bermacam lagi.
Baru-baru ini terdapat rancangan masakan di mana salah seorang peserta menghidangkan menu rendang pada juri luar. Rancangan MasterChef Australia Season 12 itu menampilkan juri jemputan iaitu penyanyi Katy Perry pada episod ke 24 dengan bertemakan cabaran Katy Perry’s Hot ‘N’ Cold.
Poh Ling Yeow, peserta yang memasak hidangan rendang bersama pulut kuning dalam pertandingan itu, dilahirkan di Malaysia sebelum berhijrah ke Australia mengikut keluarganya pada usia 9 tahun.
Anak kelahiran Kuala Lumpur ini menonjolkan identitinya dengan menggabungkan keenakkan rasa masakan Malaysia menggunakan elemen tradisional dengan cara yang moden. Menurut Poh, masakan itu digambarkan sebagai “Malaysian flavors using very traditional elements in a modern way.”
Dalam hidangan itu, Poh telah membalut rendang itik bersama pulut kuning dan juga roti jala hijau. Dia turut menjelaskan bahawa elemen ‘hot’ yang diketengahkan adalah rendang itik yang dibungkus di dalam pulut dan roti jala pandan serta disajikan bersama timun manis dan cili.
Pada mulanya Katy Perry dilihat memuji masakan itu kerana dibalut dengan kemas seakan burito dan mempunyai warna yang menarik. Namun, dia memberitahu yang dia merasa sedikit gementar kerana masakan itu berasakan daging itik kerana kurang menyukainya.
Setelah satu suapan, Katy Perry terkejut dengan rasa hidangan itu sehingga memberikan ekspresi yang pelik. Namun, tidak bagi suapan kedua dan seterusnya apabila dia dia seakan tidak boleh berhenti menikmati kesedapan rendang itik yang dimakan bersama pulut.
Juri lain pula berpendapat mereka sangat menyukai kombinasi rendang itik dan juga pulut kuning yang dikatakan mempunyai rasa yang sangat sedap dan terbaik. Malah, hidangan itu disifatkan sebagai ‘menakjubkan’ dan mempunyai semua eleman yang diperlukan dalam cabaran pada minggu itu.
Lebih menghiburkan apabila Poh ingin mengambil pinggan hidangan itu semula tetapi dihalang oleh Katy Perry kerana dia terlalu suka dan mahu menghabiskan kesemua makanan tersebut dan berkata " Dont touch it, back away”
Pada hujung rancangan ini, Katy Perry dan juri yang lain bersetuju untuk memilih hidangan pulut kuning bersama rendang itik yang dimasak oleh Poh sebagai pemenang dalam episod tersebut.
Hidangan tradisional masyarakat Malaysia iaitu pulut kuning bersama rendang itik telah memenangi hati para juri kerana keenakkannya selain dihias dengan menarik.
Meninjau ke ruangan komen di laman Youtube, warga Malaysia rata-ratanya dilihat berbangga dengan kemenangan Poh yang memperkenalkan hidangan rendang itik bersama pulut kuning kepada para juri di luar negara.







Tiada ulasan:
Catat Ulasan